Salah seorang bekas pemain Liga Malaysia ditahan oleh pihak polis baru-baru ini apabila beliau didakwa terlibat dalam kes pecah rumah di Benut, Pontian pada Isnin lalu.

Menurut laporan Kosmo, suspek yang berusia 33 tahun itu pernah mewakili beberapa pasukan Liga Malaysia diberkas selepas melakukan jenayah kes pecah rumah sehingga menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.

“Suspek cuba bertindak agresif apabila polis cuba menahannya menyebabkan berlaku sedikit pergelutan kerana dia tidak mahu memberikan kerjasama.

“Hasil siasatan, suspek mengakui melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan semalam,” katanya.

Bagaimanapun, identiti suspek tidak didedahkan dan beliau dilaporkan pernah beraksi bersama kelab gergasi dalam saingan Liga Super di Selatan dan Utara tanah air.

Malah, dia juga pernah berkelana ke Liga Thailand selama dua tahun selain turut menjalani pemilihan bersama kelab berpengkalan di Jepun.

Untuk tahun 2023 setakat ini, sudah ada beberapa bekas pemain dan pemain yang aktif bersama skud kebangsaan ditahan atau berurusan dengan pihak polis.

Pemain Sabah, Rizal Ghazali sebelum ini ditahan kerana dua pertuduhan iaitu memukul serta merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya pada bulan lalu.

Mengikut pertuduhan, Rizal didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Hasrul Sani dengan memukul wanita itu di sebuah bilik hotel di Petaling Jaya pada jam 6 pagi, 7 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rizal Ghazali juga didapati melakukan kesalahan dengan merosakkan telefon bimbit wanita sama dengan kerugian RM4,500 pada masa dan hari yang sama.

Seorang lagi bekas pemain ditahan oleh pihak berkuasa kerana dipercayai menceroboh masuk bilik hotel seorang wanita berstatus isteri orang.

Bekas pemain itu menyinar bersama skuad Harimau Malaya dan juga salah sebuah pasukan Liga Super pada awal 2000an didakwa menceroboh masuk dan kemudiannya bertindak agresif sehingga berlaku kekecohan.

Bagaimanapun suspek tersebut telah dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.